Politik

Mengambil Bahagian Aktif Dalam Politik

Soalan 1 : Adakah pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (PT) dan Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) boleh mengambil bahagian aktif dalam aktiviti politik atau memakai apa-apa lambang sesuatu parti politik?

Jawapan : Pegawai PT dan P&P tidak boleh mengambil bahagian aktif dalam aktiviti politik atau memakai apa-apa lambang sesuatu parti politik.

Tiada halangan untuk staf Kumpulan  Pelaksana mengambil bahagian aktif dalam aktiviti politik atau memakai apa-apa lambang sesuatu parti politik. Namun lambang sesuatu parti politik tidak boleh dipakai semasa berada di dalam kampus.

 

Larangan lain kepada KPT & P&P

Soalan 1   : Adakah terdapat larangan lain ke atas pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (PT), Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dan Kumpulan Pelaksana untuk terlibat dalam aktiviti politik?

Jawapan : Pegawai PT dan P&P tidak boleh

  1. membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah tentang apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti politik;
  2. menerbitkan atau mengedar apa-apa bahan yang mengemukakan pandangannya yang berat sebelah atau pandangan orang lain, tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan mana-mana parti politik;
  3. terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri atau apa-apa pemilihan untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik;
  4. bertindak sebagai ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi atau atas apa-apa sifat untuk atau bagi pihak seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri;
  5. bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau
  6. memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

Tiada halangan untuk staf  Kumpulan Pelaksana terlibat untuk aktiviti i. – iv di atas.  Namun sekiranya aktiviti i. – iv di atas melibatkan bayaran upah, staf Kumpulan Pelaksana berkenaan perlu memohon untuk melakukan pekerjaan luar kepada KJ melalui sistem HR2U kerana aktiviti yang hendak dilakukan bersifat pekerjaan luar di bawah Peraturan 4(1) (b), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Bagi perkara v – vi. Staf Kumpulan Pelaksana dikehendaki mendapatkan kebenaran Lembaga Pengarah Universiti sekiranya ingin bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

 

Calon pilihan raya

Soalan 1 : Adakah pegawai  Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dan Kumpulan Pelaksana boleh dicalonkan  untuk bertanding/ menawarkan diri bertanding di dalam pilihan raya umum, bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri?

Jawapan : Bertanding dalam pilihnaraya boleh dikategorikan sebagai “mengambil bahagian aktif dalam aktiviti politik”, yang mana ianya adalah aktiviti yang dilarang kepada pegawai  Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) di bawah Peraturan 20(1) Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

 

Soalan 2 : Apakah tindakan yang perlu dilaksanakan oleh staf universiti yang telah dicalonkan oleh parti masing-masing untuk bertanding atau menawarkan diri untuk bertanding di pilihan raya umum?

Jawapan : Sila rujuk Bahagian Pengurusan Perkhidmatan, Pejabat Pendaftar.

Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Implikasi peletakan jawatan / persaraan pilihan

Soalan  : Sekiranya staf yang telah bersara pilihan / meletak jawatan kerana bertanding di dalam pilihan raya kalah di dalam pilihan raya berkenaan, adakah pegawai boleh diterima kembali berkhidmat di dalam universiti?

Jawapan : Sila rujuk Bahagian Pengurusan Perkhidmatan, Pejabat Pendaftar.

Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Syarat-syarat penglibatan politik

Soalan  : Apakah syarat-syarat yang dikenakan ke atas staf Kumpulan Pelaksana yang terlibat dalam aktiviti politik?

Jawapan : Syarat-syarat yang dikenakan ke atas staf Kumpulan Pelaksana yang terlibat dalam aktiviti politik

  1. Kegiatan politik tidak mengganggu tugas rasmi pegawai;
  2. Segala kegiatan politik hendaklah dilakukan di luar waktu pejabat;
  3. Staf hendaklah memohon cuti jika kegiatan politik melibatkan waktu pejabat;
  4. Tidak boleh menggunakan pengaruh politik bagi menyelesaikan masalah perkhidmatan;
  5. Tidak boleh menggunakan maklumat rasmi pejabat untuk tujuan kegiatan politik;
  6. Penglibatan staf ini tidak menjejaskan kerja hakiki semasa;
  7. Semua urusan dan tanggungan semasa penglibatan dalam aktiviti/program politik adalah dibiayai dan ditanggung oleh staf sendiri;
  8. Segala kegiatan politik hendaklah tidak bertentangan dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) Akta 605 (2000)]; dan
  9. Pihak universiti boleh menarik balik kelulusan sekiranya pegawai gagal mematuhi syarat-syarat yang dikenakan.

 

Membantu kempen

Soalan 1 : Saya terlibat dengan Komuniti Kejiranan saya di mana parti politik meminta bantuan saya untuk memasang bendera parti dan bahan kempen di kawasan komuniti saya. Apa perlu saya lakukan?

Jawapan : Sekiranya pegawai ialah pegawai PT atau P&P, tindakan tersebut tidak boleh sama sekali dilaksanakan.

Tiada halangan bagi staf Kumpulan Pelaksana untuk melaksanakan aktiviti berkenaan. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat bayaran upah perlu dapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Jabatan melalui sistem HR2U kerana aktiviti yang hendak dilakukan bersifat pekerjaan luar di bawah Peraturan 4(1) (b), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

 

Soalan 2 : Bolehkah pegawai membantu berkempen atau mengikut suami / isteri yang dicalonkan dalam pilihan raya?

Jawapan : Sekiranya pegawai ialah pegawai PT atau P&P tindakan tersebut tidak boleh sama sekali dilaksanakan.

Tiada halangan bagi staf Kumpulan Pelaksana untuk melaksanakan aktiviti berkenaan.

 

Ceramah parti politik

Soalan : Bolehkah staf menghadiri dan mendengar ceramah parti-parti politik sempena kempen pilihan raya?

Jawapan : Bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada parti-parti politik yang bertanding berkaitan manifesto masing-masing, tiada halangan untuk pegawai awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi (PT), Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dan Kumpulan Pelaksana) menghadiri / mendengar ceramah parti-parti politik.

 

Rujukan:

  1. Peraturan 20, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Akta 605) 2000
  2. Peraturan 4, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Akta 605) 2000

 

Disediakan:

Unit Integriti
12.10.2022

 

Disemak oleh:

Pejabat Penasihat Undang-Undang
26.10.2022

 

Punca Kuasa:

Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti Bil. 33/2022 bertarikh 2.11.2022

 

Pelawat

164553
Today
Yesterday
This Week
This Month
Last Month
All days
82
456
2021
6545
5344
164553

HUBUNGI KAMI

 


Unit Integriti
Aras 5, Kompleks Al-Farabi
Jalan Usahawan
Universiti Teknologi MARA
40450 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

03-5544 3150

 

unitintegriti@uitm.edu.my