Tatatertib

Soalan 1 : Apakah kesan jika dikenakan tindakan tatatertib?

Jawapan : Diantara kesannya ialah :

1. Tindakan tatatertib akan direkodkan di dalam Buku Perkhidmatan

2. Staf tidak layak untuk memohon kenaikan pangkat mengikut tempoh yang ditetapkan di dalam Pekeliling Pendaftar Bilangan 50/2009 yang menerima pakai Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2009

3. Tindakan tatatertib yang dikenakan akan diambilkira di dalam urusan pengesahan jawatan/kenaikan pangkat/biasiswa/Anugerah Khidmat Cemerlang.

Soalan 2 : Bolehkah staf membuat rayuan bagi tindakan tatatertib yang telah dikenakan?

Jawapan : Boleh. Staf hendaklah mengemukakan rayuan secara bertulis melalui Ketua Jabatannya kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib (Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605]

Soalan 3 : Siapakah ahli yang mengganggotai Jawatankuasa Tatatertib UiTM?

Jawapan : Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat bagi staf Pengurusan dan Profesional terdiri daripada Pengerusi LPU sebagai Pengerusi manakala Ketua Setiausaha Kementerian dan 2 orang anggota Lembaga yang dilantik oleh Pengerusi Lembaga sebagai ahli.

Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib Bukan Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat bagi staf Pengurusan dan Profesional terdiri daripada Naib Cancelor sebagai Pengerusi manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pentadbiran) dan 2 orang anggota Lembaga yang dilantik oleh Pengerusi Lembaga sebagai ahli.

Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat bagi staf Sokongan terdiri daripada Naib Canselor sebagai Pengerusi manakala  Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pentadbiran), Penasihat Undang-Undang Kementerian dan 2 orang anggota Lembaga yang dilantik oleh Pengerusi Lembaga sebagai ahli.

Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib Bukan Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat bagi staf Sokongan terdiri daripada Timbalan Naib Cancelor (Akademik & Antarabangsa) sebagai Pengerusi manakala Ketua Bahagian (Pentadbiran) di Kementerian, Penasihat Undang-Undang Kementerian dan 2 orang anggota Lembaga yang dilantik oleh Pengerusi Lembaga sebagai ahli.

 Soalan 4 : Adakah tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja boleh diambil ke atas  pegawai yang telah bersara wajib, atas kesalahan yang dilakukan semasa dalam perkhidmatan?

Jawapan : Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas  seseorang  pegawai  yang  telah bersara kecuali jika tindakan tatatertib telah pun dimulakan (pertuduhan telah dihadapkan kepada pegawai) sebelum tarikh kuat kuasa persaraan itu, maka tempoh perkhidmatan pegawai itu disifatkan sebagai telah dilanjutkan sehingga tindakan tatatertib itu berkeputusan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencen.

Soalan 5 : Adakah tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pegawai yang telah meletak  jawatan dari perkhidmatan awam?

Jawapan : Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai pada tarikh kuat kuasa meletak jawatan. Tindakan tatatertib yang sedang diambil juga tidak boleh diteruskan lagi selepas berkuat kuasa perletakan jawatan tersebut.

Soalan 6 : Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta?

Jawapan : Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.

Jika dapat dibuktikan pegawai memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka KJ boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon atau melaporkan kepada pihak polis dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka.

Dengan tindakan di atas KJ tidak mempersoalkan integriti doktor yang memeriksa pegawai. Sebaliknya KJ hanya mempersoalkan integriti pegawai terbabit.

Soalan 7 : Adakah oral hearing dibenarkan dalam perbicaraan kes tatatertib?

Jawapan : Dasar yang berkuat kuasa sekarang tidak membenarkan perbicaraan kes tatatertib dibuat melalui oral hearing. Perbicaraan berdasarkan kepada representasi bertulis sudah memadai dan berpadanan dengan kemampuan pengurus personel sektor awam yang tidak dilatih dalam bidang oral hearing. Dasar ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempastikan kes tatatertib dapat diselesaikan dengan segera.

 Soalan 8 : Apakah tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas boleh diambil ke atas seseorang pegawai yang telah ditangkap/ditahan oleh pihak polis atau BPR kerana disyaki melakukan jenayah?

Jawapan : Tangkapan seumpama ini dianggap sebagai tangkapan kerana membantu siasatan. Ketidak hadiran bertugas bagi tempoh pegawai ditahan itu adalah disifatkan sebagai dengan sebab yang munasabah. Walau bagaimana pun sekiranya pegawai masih tidak hadir selepas dibebaskan sama ada dengan ikat jamin dan sebagainya, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan bagi ketidak hadiran selepas dia dibebaskan itu.

 Soalan 9 : Bagaimana menguruskan masalah pegawai yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas secara tenggelam timbul: kadang-kadang hadir, kadang-kadang tidak?

Jawapan : Jika ketidakhadiran itu merupakan kesalahan tatatertib, tindakan hendaklah dimulakan sebaik-baik sahaja pegawai melakukan kesalahan tersebut tanpa menunggu sehingga jumlah hari yang mereka tidak hadir itu mencapai jumlah tertentu. Di peringkat awal kesalahan itu dilakukan dan jumlahnya masih sedikit, pegawai sebaik-baiknya diberi nasihat dan bimbingan. Tindakan tatatertib adalah langkah terakhir, iaitu jika tindakan awal tidak berkesan.

Soalan 10 : Apakah kesan kepada kakitangan yang tidak hadir bertugas dipanggil semula untuk bertugas dan kemudian dikenakan tindakan tatatertib?

Jawapan : Jika ini berlaku seolah-olah pemaafan (condonation) telah diberikan kepada kakitangan terbabit kerana tindakan tatatertib hanya diambil setelah suatu tempoh masa yang panjang.

Integriti seseorang Ketua Jabatan dan agensi sudah pasti akan dipertikai dan diperlekehkan oleh pegawai bawahannya jika Ketua Jabatan tidak bersungguh-sungguh dalam mematuhi Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

Soalan 11 : Bolehkah tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang diketahui menagih dadah?

Jawapan :

1. Jika pegawai telah menagih dadah sebelum dilantik tetapi tidak diisytiharkan dalam sumpah berkanunnya, pegawai boleh dituduh membuat sumpah palsu. Jika pelantikan mereka belum disahkan, pelantikan itu boleh dibatalkan.

2. Jika pelantikan pegawai telah disahkan, KJ boleh perakukan supaya pegawai tidak disahkan dalam perkhidmatan dan seterusnya perkhidmatan beliau ditamatkan.

3. Jika pegawai telah disahkan dalam perkhidmatan dan berusia kurang 40 tahun, tindakan tatatertib hingga ke peringkat buang kerja boleh dipertimbangkan.

Pelawat

060637
Today
Yesterday
This Week
This Month
Last Month
All days
130
158
288
7759
7202
60637

HUBUNGI KAMI

 


Unit Integriti
Aras 5, Kompleks Al-Farabi
Jalan Usahawan
Universiti Teknologi MARA
40450 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

03-5544 3150

 

unitintegriti@uitm.edu.my